Wednesday, February 17, 2010

Merempat di rumah sendiri

Keretakan politik negara yang memaksa sesetengah pihak meminta bantuan luar kebelakangan ini amat merisaukan. Aku bukan penganalisis politik, tapi mungkin cuma ingin mengajak kita untuk melihat hal ini dari sudut sejarah dan kebiasaan manusia.

Pernah dahulu, ketika orang Yahudi meminta untuk diiktiraf pembelian tanah mereka di Palestin, pada awal kurun ke 19, Sultan Abdul Hamid tidak sekali-kali memberikan pengiktirafan pada mereka. Emmanuel Carasso yang bersekongkol dengan Theodor Herzl telah cuba mendapatkan izin menempatkan Yahudi di Palestin sejak 1898 lagi. Sultan tetap bertegas. Yahudi menawarkan untuk membeli ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin dengan harga yang tinggi. Sultan tetap menolak. Yahudi menawarkan pula untuk menyewa tanah itu selama 99 tahun dengan harga yang cukup tinggi. Sultan tetap menolak.

Kata mereka : "Kami bukannya mahu membuat Negara di sana, kami hanya mahu Tuan yang mulia mengiktiraf tanah yang kami hendak beli" kata Emmanuel Carasso.

Namun, tegas sultan : "Jika ada langkah pertama, maka akan ada langkah seterusnya!".

Memang betul, ketika Sultan Abdul Hamid digulingkan pada 1909, Yahudilah golongan yang paling gembira. Benarlah telahan Sultan,"Jika ada langkah pertama, maka akan ada langkah seterusnya". 40 tahun selepas kejadian ini, Yahudi bukan sahaja mendapat pengiktirafan duduk, malahan mendapat sebuah Negara!.

Dan, di negara kita. Pernah dulu, ketika moyang kepada moyang kita masih muda remaja, berkain pelikat tapi bertempik tempur menentang si pejuang berslogan "asia untuk orang asia", kacak berserban, tetapi ligat bermain parang dan pedang menentang penjajah barat yang celaka menabur janji!. Semuanya kerana apa? Semuanya kerana kerakusan mereka yang ketika itu terbuai dengan janji-janji palsu dan terpesona dengan pemberian pencen kecil yang diberikan oleh british. Syaratnya hanya satu : "Biarkan aku MEMBANTU tuanku memerintah negeri".

Bermula dari situ, lantas tidak perlu diceritakan lagi kesengsaraan yang dialami penduduk. Kau dan mereka tahu betapa sengsaranya moyang kepada moyang kita yang kacak berserban dan berkain pelikat itu dahulu berebutkan hak hidup di bumi kita sendiri!. MEREMPAT DI RUMAH SENDIRI. Rasanya, tiada hakikat yang lebih pedih daripada itu.

Lantas, setelah kita dihidangkan dengan sejarah itu, bukankah secara matang dan warasnya kita mengambil ikhtibar daripada sejarah itu?. Dengan matang dan warasnya, kita perlu menghindari perkara yang boleh menyebabkan mereka, watak tambahan yang celaka itu daripada menghulurkan BANTUAN yang akhirnya boleh menjadikan mereka TUAN di negara kita ini?

Memang!. Di saat ORANG RUMAH sendiri melemparkan kita jauh ke tengah keserabutan. Mungkin, jalan terbaik ialah dengan meminta bantuan MEREKA, cucu cicit penjajah moyang kepada moyang kita yang kacak berserban dan berkain pelikat itu. Tetapi, sejarah telah mencatatkan bahawa, dengan bantuan mereka yang sedikit itu telah berjaya menjadikan mereka tuan di negara kita. Moyang kepada moyang kita merempat di tanah sendiri, diperangi, dibunuh, menderita dan sengsara. Segalanya bermula dengan persetujuan pemerintah untuk penjajah-penjajah itu CAMPUR TANGAN di negara kita.

Tapi, sedihnya, ramai dan yang pastinya, mereka yang memegang tampuk pemerintahan mungkin tidak menyedari hakikat ini. Mereka terus berperang. Berperang demi apa? Berperang untuk siapa?. Entahlah. Hanya mereka yang boleh menjawab persoalan itu. Apa yang pasti, jangan sampai lesung dan alu penat berantakan, akhirnya..ayam di luar yang sedang memerhati makan kekenyangan!"

No comments:

Post a Comment